Kampung Sirdhem

Umar dan Ruindoldaer berjalan agak lama.

Selepas beberapa ketika berjalan, Umar bertanyakan sumber air yang boleh dia jadikan sebagai air untuk berwudhu'. Umar berwudhu lalu mengerjakan solat jama' dan qasar. Kiblat dapat dicari berpandukan kedudukan matahari di langit.

Timbul satu persoalan, adakah ka'bah masih wujud di dunia ini?.

Ruindoldaer hanya memerhatikan sahaja tingkah laku Umar.

Disepanjang perjalanan mereka berbual. Tidak seperti Ethirhel, Ruindoldaer lebih ramah dan ringan mulut. Sepanjang perjalanan dengan Ethirhel, mereka tidak bercakap sepatah pun.

Umar bercerita segala-galanya kepada Ruindoldaer.



Dia bercerita tentang bagaimana dia bangun dan terus berada di dunia baru ini, bagaimana kemudiannya dia terjumpa dengan Ethirhel, dan bagaimana mereka berlawan dengan naga. Malah Umar bercerita dari mana dia datang dan bagaimana keadaan di sana.

Walaupun baru berjumpa, Umar sudah rasa mesra dengan Ruindoldaer. Dia suka dengan perawakan Ruindoldaer yang mudah senyum. Ruindoldaer juga adalah seorang pendengar yang baik. Dia tidak banyak menyampuk, sesekali dia memberikan komen-komen pendek mengiakan semua yang Umar katakan.

Ruindoldaer mendengar dengan tekun sambil mengangguk-anggukkan kepala. Sekiranya Umar mula diam kehabisan cerita, Ruindoldaer akan bertanya lebih lanjut tentang cerita Umar.

Sekali-sekala Ruindoldaer akan mengusik menjerit "Ular!" sambil menunjukkan jari ke arah kaki Umar. Namun Umar tidak lagi memberikan sebarang reaksi terkejut. Cuma dia masih ketawa kecil mengingatkan apa yang berlaku sebentar tadi.

Seringkali Umar terbelit lidah nak menyebut nama Ruindoldaer, "Boleh saya panggil Ruin sahaja?"

"Hahahaha... pertama kali saya dipanggil seperti itu. Silakan, panggillah nama apa yang awak mudah."

Selepas selesai cerita Umar, Ruin pula membuka cerita tentang dirinya dan kaum elf.

Ruindoldaer kini berusia 35 tahun, namun dia masih dianggap kanak-kanak di kalangan elf. Badannya juga masih belum betul-betul membesar. Elf memang berusia panjang. Bagi elf, zaman remaja hanya bermula pada usia 45 tahun. Sekiranya dibandingkan dengan usia manusia, mereka berdua memang sebaya. Dua-dua merupakan kanak-kanak yang sudah menghampiri usia Remaja.

Setiap elf perlu belajar sekurang-kurangnya 20 jenis bahasa yang utama. Druidar, ketua kampung Sirdhem mengetahui lebih dari 200 bahasa. Di zaman ini, bahasa merupakan perkara utama yang mereka perlu pelajari.

Tanpa pengetahuan bahasa, dua kaum yang baik pun boleh jadi musuh kerana salah faham. Ada banyak sejarah peperangan besar yang berlaku antara dua kaum disebabkan salah faham.
Antaranya adalah peperangan Nogoth yang berlaku antara kaum elf dan kaum Dwarf beberapa ratus tahun yang lalu yang bermula daripada salah faham terhadap istilah yang digunakan.

Tanpa pengetahuan bahasa juga mereka tidak dapat berjual beli dengan kaum yang lain. Walaupun begitu, kaum elf jarang berhubung dengan kaum-kaum lain kerana semua keperluan mereka sudah dapat mereka penuhi sendiri.

Ruind dengan bangga mengaku yang dia sudahpun mengetahui 43 bahasa sehingga kini. Bahasa Malaysia adalah salah satu daripada bahasa yang dia kuasai. Tidak ramai orang di Sirdhem faham Bahasa Malaysia kerana Bahasa Malaysia tidak termasuk dalam 20 bahasa paling asas yang wajib semua elf kuasai.

Dan walaupun merupakan kewajipan, ada juga sesetengah elf yang masih enggan belajar pelbagai bahasa dan tetap kekal hanya menggunakan Bahasa Sindarin iaitu bahasa ibunda kaum elf di Kampung Sirdhem.

Umar tidak suka matapelajaran bahasa kerana dia merasakan yang ianya tidak berapa penting. Dalam keadaan ini barulah dia terasa kepentingan mempelajari pelbagai bahasa. Sekiranya ditakdirkan Ethirhel tidak memahami Bahasa Malaysia, entah apalah nasibnya.

Semakin lama bersembang, Umar semakin yakin yang sekarang dia bukan lagi berada di Malaysia. Dan mungkin juga dia bukan lagi berada di dunia sebelum ini. Dunia ini begitu berbeza daripada apa yang pernah dia ketahui.

Sekiranya mereka masih dalam negara Malaysia, pastilah berita tentang Naga dan Orco sudah menjadi bualan di dada akhbar dan berita tempatan. Atau mungkin juga dia masih di Malaysia, akan tetapi di masa hadapan. Berlaku mutasi dimana sebahagian mahusia bertukar menjadi elf dan sebahagian lagi menjadi Orco. Naga pula mungkin berasal dari spesis burung yang dikacukkan dengan biawak. Atau boleh jadi mereka sekarang ini berada di planet lain?.

"Ah, berserabut fikiran aku", kata Umar di dalam hati.

Perbualan menjadi semakin rancak, perjalanan yang panjang tersebut terasa pendek sahaja. Ruindoldaer dan Umar akhirnya tiba di Kampung Sirdhem.

"Umar, perkenalkan, inilah Sirdhem" kata Ruin.



Umar takjub melihat keindahan sebuah perkampungan elf.

Kampung Sirdhem mempunyai banyak rumah-rumah di atas pokok. Setiap satu rumah dengan rumah yang lain disambungkan dengan jambatan gantung yang diperbuat daripada kayu.

Ada juga beberapa pondok kecil di atas pokok yang tidak bersambung dengan jambatan. setiap pondok ini ada seorang pengawal memegang busur panah yang sentiasa memerhatikan keadaan sekeliling. Sekarang semua pengawal-pengawal ini sedang melihat tepat pada Umar.

Agaknya rumah pondok inilah yang menjadi pertahanan utama kampung elf ini. Sekiranya ada sebarang musuh yang mendekati mereka dapat dilihat dari jauh lagi.

Ada satu bangunan ditengah-tengah Sirdhem jauh lebih besar berbanding semua rumah yang lain. Mungkin itulah pusat bagi kampung Sirdhem. Umar dapat melihat lampu-lampu mulai terpasang dari satu bilik ke satu bilik.

"Sudah hampir waktu maghrib." bisik Umar di dalam hatinya.

Umar dapat melihat beberapa elf yang sedang berjalan-jalan di tengah-tengah jambatan gantung. Salah seorang dari mereka melambai kepada mereka. Dia kelihatan seperti Ruindoldaer, "mungkin adik beradik Ruin agaknya." Ruin melambai kembali.

Tidak lama kemudian lima elf dewasa lengkap bersenjata dan berpakaian serba hijau seperi Ethilheir menghampiri mereka berdua. Ruin berhenti bercakap, tunduk dan berundur beberapa langkah daripada Umar.

"Manusia, Ethilheir mengarahkan kami membawa awak berjumpa dengan Druidar setibanya awak di sini. Sila ikut saya" Kata salah seorang dari mereka.

"Ruindoldaer, lenweta an melamar, to navatar esta." kemudian dia memberikan arahan kepada Ruin.

"Na" jawab Ruin, sambil menundukkan kepala. Ruin pun beredar pergi.

Dua orang mendekati Umar lalu memeriksa badan Umar, "Mungkin mereka memeriksa samada ada sebarang senjata tersimpan untuk tujuan keselamatan." fikir Umar.

"Mana!" jerkah salah seorang pengawal, mukanya merah, dia memegang sesuatu berbentuk seperti kiub kaca yang dia jumpai dari saku seluar Umar. Kiub kaca itu berbentuk kiub dengan panjang kira-kira 1 sentimeter. Dari dalam kiub kaca itu terpancar cahaya berwarna kebiru-biruan.

Kenapa dia bertanya mana? Umar tidak tahu bagaimana nak jawab.

"Mana bermaksud Apakah bendanya ini?" tanya elf yang mula-mula bercakap menyambut Umar.

Belum sempat Umar menjawab pengawal itu mengeluarkan pula sehelai lembaran yang diperbuat dari kulit dari sebalik baju Umar. Umar tidak sedarpun selama ini yang lembaran dan kiub kaca itu ada di kocek dan sebalik bajunya.

Pada fikiran Umar, lembaran itu kosong, tidak ada apa-apa di atasnya dan kelihatan cuma seperti sekeping lembaran kulit yang tidak membawa apa-apa makna. Sepatutnya ia tidak mendatangkan apa-apa curiga. Cuma kiub yang bercahaya itu mungkin mempunyai sesuatu maksud disebaliknya, Umar tidak tahu.

"Saya tidak tahu. Apabila saya terjaga ia sudah berada di situ" jawab Umar.

"Tog he an aran si, tog enwe acca" kata elf yang mula-mula tadi kepada dua elf yang memeriksa Umar.

Umar pun dibawa pergi menuju ke arah bangunan paling besar di tengah-tengah bandar Sirdhem. Dia hanya mengikut sahaja dengan pasrah. Umar sempat melihat-lihat keadaan di sekeliling Sirdhem.

-----------------------------------------------------------------------

Umar agak keletihan selepas perjalanan panjang menuju ke Sirdhem, dia dibawa pula ke puncak pokok yang paling besar di situ untuk berjumpa dengan ketua kampung. Dia hampir tidak mampu lagi untuk meneruskan perjalanan apabila sampai ke bilik ketua kampung.

Bilik itu sederhana besar, berwarna putih dan hijau. Di dalam bilik itu ada seorang elf, mungkin itulah Druidar, ketua kampung Sirdhem, fikir Umar. Druidar sedang duduk di atas sebuah kerusi kayu yang berwarna hijau. Kerusi itu mungkin lebih sesuai dipanggil singgahsana, diperbuat daripada kayu dengan ukiran yang begitu cantik, terdapat satu permata yang besar bercahaya di tengah-tengah kerusi itu.

Di sebelah pintu masuk ada sebuah meja yang sederhana besarnya, di situlah pengawal tadi meletakkan dadu biru dan lembaran kulit tadi. Meja itu berwarna putih, seperti diperbuat daripada batu marmar.

Dua pengiring Umar mula beredar pergi selepas mereka selesai menghantar Umar.

"Selamat datang ke Sirdhem, saya Druidar, ketua kampung Sirdhem." kata Druidar.


Drudiar kelihatan segak, meskipun sudah berusia lebih dua ratus tahun, tidak ada tanda-tanda seperti seorang yang sudah tua padanya. Dengan rambut yang berwarna keemasan, raut wajah yang bersih dan ceria tanpa janggut atau misai. Dia sentiasa tersenyum, ceria. Senang hati bila memandangnya.

Druidar memakai baju jubah putih keemas-emasan. Warna baju dan rambutnya yang sama menjadikan dia tampak lebih segak. Sekiranya dilihat betul-betul, seluruh tubuh badannya seakan-akan memancarkan cahaya keemasan. Sosok seorang ketua jelas terpancar.

"Terima kasih." jawab Umar.

"Saya sudah dengar banyak cerita mengenai awak daripada Ethilher. Terima kasih kerana menyelamatkan salah seorang dari kaum kami." Druidar menyambung.

"Saya difahamkan yang Umar datang daripada sebuah tempat bernama Kuala Lumpur. Kedatangan kamu juga diiringi dengan kedatangan seekor Naga. Boleh kamu gambarkan bagaimanakah rupa Naga tersebut?"

"Erm..." Umar cuba ingat kembali apa yang telah berlaku. "Naga itu berwarna merah. Bawah badannya agak putih. Tinggiya seperti dua kali tinggi seorang dewasa. Naga itu boleh menghembuskan api dari mulutnya. Ia terbang di udara dengan sangat laju."

"Thorn... Nama naga itu Thorn. Kalau macam tu... erm, nampaknya apa yang dikhabarkan pada saya itu benar. Telah datang satu petanda besar bahawa malapetaka akan menimpa Sirdhem tidak lama lagi"

Druidar kemudian mendiamkan diri, berfikir. Dia bergerak ke arah meja di sebelah bucu biliknya. Ada sebuah bola kaca berwarna biru di atas meja tersebut. Druidar meletakkan tangannya ke atas bola kaca tersebut kemudian berkata.

"Akkar! ettul"

Warna biru bola kaca itu menjadi terang dan kemudian malap kembali selepas Druidar mengangkat tangannya kembali. Satu suara menjawab. Druidar kemudian bercakap-cakap dengan suara tersebut dalam bahasa yang tidak Umar fahami. Umar dibiarkan sendirian.

Umar bergerak ke arah dadu kaca dan lembaran kulit yang diletakkan di atas meja. Apabila umar menyentuh lembaran kulit, satu tulisan keluar di atas lembaran itu :


Selamat datang ke dunia Etnys.

 Anda adalah seorang pengembara yang telah tersesat ke dunia baru. Misi anda masih lagi belum anda ketahui. Sila teruskan pengembaraan anda untuk melihat lebih banyak penerangan di sini.
 
Sila baca panduan ini untuk mengikuti tutorial.

Sebut "Lihat Status" untuk melihat paparan status anda.
Sebut "Lihat Skil untuk melihat paparan skil anda.
Sebut "Lihat Maklumat" sambil menyentuh satu-satu objek untuk melihat penerangan objek.
Sekiranya anda bergerak, paparan akan tertutup.
Gunakan penterjemah sekiranya anda mengalami masalah memahami bahasa.

Panduan ini akan bertambah panjang selari dengan penigkatan level dan/atau kemampuan anda.

Amaran : Jangan hilangkan panduan ini!


"Lihat Status". kata Umar kehairanan.

Tiba-tiba dihadapannya muncul satu paparan.

Status
Nama:Umar AdamPengalaman:2/10
Level:1Pekerjaan: tiada
Kaum:ManusiaJantina:Lelaki
Gelaran:tiada
Kebaikan:0Kejahatan:0
-
Nyawa:92 / 100Pulih Nyawa:5/ min
Mana:20 / 20Pulih Mana:1/min
Stamina:80 / 80Pulih Stamina:8/min
-
Kekuatan:8Kelajuan:7
Daya Pertahanan:5Pengetahuan :5
Kebijaksanaan:5

-
Kuasa Serangan:3Pertahanan:2
Ketahanan Magic
Api:0%Air:0%
Angin:0%Tanah:0%
Kilat:0%Ilusi:0%
Cahaya:0%Kegelapan:0%


"Lihat skill"

Paparan tadi hilang, digantikan dengan paparan baru.

Skill.
Tiada.

"Dunia ini ada penerangan seperti dalam permainan komputer!" Umar takjub.

"Ini sangat menarik!"

Umar melihat pada kiub kaca berwarna biru itu pula.

"Apakah ini?"

Dia cuba memerhatikan kiub tersebut dengan lebih dekat. Umar tersedar yang ada sesuatu berbeza yang sedang berlaku. Sejurus selepas dia memegang kiub kaca itu, dia dapat memahami perbincangan ketua kampung.

Druidar masih lagi sedang berbincang dengan seseorang melalui bola kaca.

Umar mendengar perbincangan mereka.

Druidar : "Kau perlu percaya Akkar, ramalan kemusnahan Galadh itu benar-benar akan terjadi. Budak itu datang bersama Naga Thorn. Lagenda mengatakan yang tidak lama lagi kita akan mempunyai masalah besar yang boleh menyebabkan seluruh kaum elf pupus. "

"Dialah satu-satunya harapan kita untuk mengelakkan perkara tersebut terjadi."

"Kau perlu latih dia segera supaya dia mempunyai harapan untuk terus hidup. Dia akan menjadi sasaran bunuh dari pelbagai kaum selepas ini dan dia perlukan latihan untuk terus hidup."

Akkar : "Aku tak percaya semua cerita dogeng itu. Takkanlah budak hingusan itu mampu berbuat apa-apa. Dia boleh mati dengan cuma dengan satu jentikan aku."

Druidar : "Akkar, ramalan Galadh tak pernah silap."

Akkar : "Dia manusia Druidar, kau belum lupa lagi tentang apakah yang telah manusia lakukan pada elf? mereka menyerang dan membunuh banyak elf. Isteri dan anak-anakku mati di tangan manusia. Aku benci manusia."

Druidar : "Akkar...

"Budak itu lain. Dialah yang telah menyelamatkan Ethirhel pagi tadi. Dia tak sama dengan manusia yang lain. "

"Seseorang itu tidak boleh dianggap bersalah cuma kerana ada orang lain di dalam kaumnya yang buat kesalahan yang sama Akkar."

"Kau pun tidak pernah dikaitkan atau dipersalahkan atas kesalahan pakcik kau, Skel'sul apabila dia membelot puak elf dahulu."

Akkar : "Druidar kau jangan sebut nama itu di hadapan aku!"

Druidar : "...."

Akkar : "Baiklah aku akan ikut arahan kau kali ini."

Akkar : "Tapi jangan harap dia boleh dapat layanan yang baik dari aku. Aku hanya perlu melatihnya, tak semestinya aku perlu menyukai dia."

Druidar : "Terima kasih Akkar, aku akan menghantar dia ke tempat kau esok pagi."

Perbincangan selepas itu berkisar tentang bagaimana dengan persediaan keselamatan di kampung Sirdhem untuk menghadapi kemungkinan serangan Thorn. Umar mendengar dengan teliti perbincangan antara Druidar dan Akkar. Nampaknya Akkar akan menjadi pelatihnya. Druidar masih belum tahu yang Umar sudah boleh memahami bahasa elf.

Setelah berlalu satu masa, tiba-tiba satu status baru muncul di hadapan Umar.

Ding*

Tahniah!
Anda telah mendapat skil baru


Nama Skil :Tahap Skil :Level :Pengalaman Skil:
Bahasa Sindarin (elf)Permulaan11/10
Setelah mendengar dan memahami Bahasa Sindarin buat kali pertama anda boleh memahami sabahagian daripada bahasa ini.

Terus pelajari bahasa ini untuk lebih memahaminya.

Anda akan mula boleh bercakap selepas mencapai level 5.    

Kesan :
  • Pengetahuan +1
  • Kebijaksanaan +1
  • Hubungan dengan elf bertambah baik


"Wah, aku boleh mendapat pengetahuan bahasa elf cuma dengan mendengar perbincangan mereka melalui penterjemah ini." bisik Umar di dalam hati.

"Lihat Maklumat" Umar ingin melihat penerangan lebih lanjut tentang kiub yang dia sedang genggam.


Kiub

Kiub ini mempunyai pelbagai fungsi. Fungsi lain akan bertambah mengikut level dan/atau kemahiran anda.

Fungsi yang sudah dibuka :
-Menterjemah bahasa


Jadi kiub ini boleh mempunyai fungsi yang lain selepas ini. Aku mesti menjaga kedua-dua benda ini agar tidak hilang atau aku akan mengalami masalah besar.

"Umar"

Umar terkejut. "Ya, saya."

Rupanya Druidar sudahpun habis bercakap dengan Akkar dan sedang memandang ke arah Umar. Umar menggenggam dadu itu agar tidak kelihatan.

"Silakan duduk"

Umar pun bergerak untuk duduk di salah sebuah kerusi yang ada.

"Maafkan saya, tadi saya perlu membincangkan beberapa perkara penting berkenaan pengurusan kampung."

"Boleh awak ceritakan kepada saya siapakah awak sebenarnya dan bagaimanakah awak boleh sampai ke sini?"

Umar pun mula menceritakan bagaimana dia mula bangun dan apa yang terjadi sehinggalah di sampai ke Sirdhem kepada Druidar. Dia merasakan yang Druidar perlu tahu semua perkara supaya Druidar boleh membantu dia memahami apa sebenarnya yang berlaku dan apa yang perlu dia buat selepas ini.

Umar juga menceritakan tentang lembaran kulit dan kiub biru yang dia sedang pegang. Dia sudahpun percaya bahawa Druidar tidak akan mengapa-apakan dia setelah dia terdengar perbualan antara Druidar dan Akkar sebentar tadi. Cuma sekarang ini dia mahu agar Druidar memahami apa yang betul-betul berlaku supaya Druidar dapat mengambil keputusan yang terbaik.

Dia juga percaya yang Druidar dapat membuat keputusan yang lebih baik berbanding dirinya disebabkan Druidar mempunyai lebih banyak pengetahuan dan pengalaman berbanding dirinya.

Druidar hanya mendengar tanpa mencelah.

"Itulah yang berlaku sebenarnya, saya berharap Tuan dapat membantu saya dalam menyelesaikan perkara ini." Umar berharap Druidar dapat menjawab persoalan paling utama iaitu dimanakah ibu dan ayahnya dan mengapakah dia berada di sini.

"Umar, terima kasih kerana berterus-terang dengan saya. Sekiranya awak tidak menceritakan semua itu, mungkin saya akan melakukan kesilapan dan meletakkan awak di dalam bahaya."

"Adakah awak pernah menceritakan perkara ini kepada sesiapa?" soal Druidar

"Ruindoldaer sahaja... dan Ethilher." jawab Umar

Druidar menyambung,  "Satu pesanan saya, selepas ini jangan ceritakan perkara ini kepada sesiapa pun. Nyawa awak sekarang ini di dalam bahaya, sekiranya musuh dapat tahu mengenai perkara ini, seluruh pembunuh upahan yang ada di dalam dunia ini akan diupah untuk membunuh awak. Percayalah..."

"Saya akan membuat mereka berdua lupa semua penerangan awak kepada mereka selepas ini. Itu lebih baik bagi mereka. Sekiranya tidak, mereka juga akan diburu."

Druindar kemudiannya bergerak ke arah bola kacanya kembali, "Ethilher datang ke sini sekarang." dia diam sebentar, kemudian dia berkata lagi "Ruindoldaer masuk ke bilik saya sekarang."

"Umar, saya minta maaf, ada beberapa perkara yang penting perlu saya selesaikan segera. Saya akan berikan awak satu bilik untuk awak tinggal buat sementara ini. Awak akan tinggal di sebelah bilik saya. Awak hanya perlu keluar dari bilik ini, pandang ke kanan, bilik yang kedua itu adalah bilik awak."

"Awak boleh pergi sekarang." kata Druidar sambil membuka pintu biliknya dan mengisyaratkan tanda keluar kepada Umar.

Umar menurut sahaja.

"Oh ya, saya akan minta seseorang datang kepada awak malam nanti untuk memberikan awak sepasang baju ganti dan makanan untuk makan malam." Kata Druidar sebaik sahaja dia terlihat belakang Umar yang terbakar.

"Baik, terima kasih." jawab Umar.

"Itulah orang dewasa, langsung tidak memberikan penerangan tentang apa yang berlaku, hanya tahu memberikan arahan sahaja." bisik Umar di dalam hati.

Dia bergerak menuju ke arah biliknya.

-----------------------------------------------------------------------------

- bersambung di bab 3.






Leave a Reply