![]() |
| Dahannya 2-3 kali lebih besar dari pokok biasa |
Umar adalah seorang kanak-kanak biasa. Tidak ada yang luar biasa mengenai Umar. Sekurang-kurangnya itulah yang Umar fikirkan.
Berusia 12 tahun, dia sedang bersiap sedia menghadapi peperiksaan UPSR yang akan dijalaninya tidak lama lagi. Bersekolah di sekolah biasa. Mempunyai dua orang ibubapa yang juga biasa-biasa. Mempunyai seorang abang dan 3 orang adik. Menggemari permainan komputer dan bola sepak. Meminati mata pelajaran matematik. Tidak suka pada Bahasa Inggeris.
Apa yang berbeza dari kebanyakan kawan-kawannya? Umar tidak dapat memikirkan satupun jawapan yang boleh dia berikan.
Jadi kenapa perkara seperti ini boleh berlaku pada dirinya? Umar bertanya kepada dirinya lagi.
Buka sahaja mata, dia terlihat satu bayangan binatang besar seakan-akan seekor naga terbang melintasi udara. Naga?. Dia menggosok-gosok matanya. Bayangan itu sudah tiada. Mungkin aku tersilap nampak atau mungkin itu cuma seekor cuma burung yang besar, kata Umar di dalam hati. Dia sedang terbaring di atas padang rumput.
Aku dimana? Dia melihat sekeliling, dia berada di sebuah padang rumput yang dikelilingi hutan. Suasana kehijauan padang yang begitu indah. Bau pokok yang begitu menyegarkan. Tidak jauh dari itu mengalir sungai yang jernih sekali. Dia tidak pernah melihat sungai yang sebegitu jernih.
Ya, ianya begitu cantik sekali. Akan tetapi mengapa dia di sini?
Dia melihat kepada dirinya, baju apakah ini. Dia tak pernah memiliki pakaian seperti ini. Baju ini tidak mempunyai lengan, berwarna coklat dan agak tebal, seperti diperbuat dari kulit. Seperti warna kulit tali pinggang ayah. Seluar juga diperbuat dari bahan yang sama.
Dia juga memakai stokin dan kasut. Kasutnya pula seperti kasut yang biasa digunakan untuk masuk ke dalam hutan. Tidak terlalu keras sehingga menggangu pergerakan akan tetapi cukup kuat untuk melindungi kaki dari duri atau apa-apa yang boleh membahayakan kaki.
Dia mengimbas kembali apa yang berlaku semalam.
Pulang dari sekolah dia terus mencampakkan beg sekolahnya di tempat biasa, pergi ke dapur, minum air, dan kemudiannya mencari apa yang boleh dimakan. Dia ambil sekeping roti, sapu susu pekat, tabur serbuk milo dan bawa naik ke atas. Sasaran biasa selepas pulang dari sekolah, bilik komputer. Tidak sabar untuk berjumpa kawan-kawannya di alam maya.
Apa yang silap? semuanya adalah rutin biasa.
Sewaktu naik tangga, tiba-tiba dia terjatuh, kepalanya terhantuk dan semuanya menjadi gelap.
Setelah tersedar dia mendapati dia sedang berada di suatu tempat yang tidak dikenali.
Umar meraba kepalanya, tidak ada luka, tidak ada apa-apa kesan dari terjatuh.
Hmmm, aku di mana?
"Ummi!!! Ummi di mana!"
Umar menjerit.
Takkanlah dia dibawa ke tengah-tengah hutan sebegini sejurus selepas jatuh dari tangga?
Kepalanya tak dapat berhenti memikirkan apa sebenarnya yang sedang berlaku.
Mengapa dia berada di sini, apa yang terjadi pada ibu dan ayahnya, di mana sebenarnya dia berada, apa yang perlu dia lakukan.
Dia ingin menangis, akan tetapi dia tahu, menangis tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah.
Umar agak matang dalam perkara tersebut. Menjadi adik kepada seorang abang yang "sempurna" menjadikan dia begitu. Sekiranya dia menangis abangnya akan terus mengusik lagi. Diam dan buat tidak tahu sahaja akan menyebabkan abangnya bosan lalu berhenti.
Ummilah yang ajar supaya Umar jadi seperti itu.
"Ummi!!! Ummi!"
Umar menjerit lagi.
Dia memerhatikan sekelilingnya dengan lebih teliti.
Apakah mungkin ini adalah usikan abangnya? matanya melilau mencari apa-apa yang boleh dijadikan sebagai klu.
Ini bukan kali pertama Umar masuk ke hutan. Ayahnya memang gemar membawa dia dan adik-beradiknya masuk ke dalam hutan di waktu cuti sekolah. Hutan itu menyegarkan kata ayahnya. Di sana ayahnya suka mengajarkan cara membuat unggun api, membuat perangkap mudah, menangkap ikan, dan sekali sekala berkhemah.
Mungkin juga itulah sebabnya Umar masih lagi tidak takut untuk berjalan dan memerhati sekeliling, dia sudah biasa dengan hutan.
Setelah memerhati lebih dekat dia perasan yang hutan ini agak berbeza dengan hutan yang biasa dimasuki Umar. Pokok-pokoknya tidak pernah Umar lihat sebelum ini. Batang pokok di sini besar-besar, beberapa kali ganda lebih besar dari pokok-pokok di hutan yang biasa dia masuki. Hutannya kemas, pokok tinggi-tinggi dan rimbun menghalang cahaya menyebabkan tidak banyak semak samun yang boleh tumbuh.
Umar berjalan perlahan-lahan menyusuri sungai. Itu pesan ayahnya, jika tersesat di dalam hutan, cari sungai dan ikuti tebingnya. Biasanya perkampungan orang asli berada berdekatan dengan sungai. Mereka memerlukan sungai sebagai sumber air untuk mandi, membasuh pakaian dan menangkap ikan. Sekiranya tersesat di dalam hutan, perkara yang pertama perlu dilakukan adalah mencari sumber air. Umar masih ingat pesanan itu.
Umar berjalan lebih lama.
Apabila dahaga, dia berhenti dan meneguk air sungai. Sejuk dan segar sekali. Ada sedikit rasa seakan-akan manis. Air yang turun dari atas bukit memang begitu. Belum tercemar oleh apa-apa lagi. Air bukit juga kaya dengan pelbagai mineral.
Kakinya langsung tidak basah walaupun air meneggelami kakinya sehingga ke buku lali.
Otaknya terus ligat bekerja, apakah punca dia terbangun di dalam hutan ini.
Pelik juga, pokok-pokok yang besar ini mungkin menandakan yang Umar bukan berada di hutan kecil atau pinggiran hutan. Kebarangkalian itu menyebabkan Umar sedikit takut, dia berharap tekaan itu salah.
Dan bayangan burung besar tadi menyebabkan dia terfikir perkara yang lebih menakutkan. "Ah, itu cuma bayangan selepas baru terbangun, mungkin dia masih mamai ketika itu." Umar berkata di dalam hati cuba menenangkan diri.
"Bismillahillazi la yadurru ma'asmihi syaiun fil ardi wa la fissamaa'i wahua sami' ul alim (Dengan nama Allah yang dengan Namanya tiada sesuatupun di bumi dan di langit mampu memberikan kemudaratan. Dan Dia maha mendengar lagi maha mengetahui)
Umar meratib ayat tersebut di dalam hatinya. Berdoa kepada Allah agar diselamatkan dari sebarang perkara yang buruk.
Umar terus berjalan mengikuti arus sungai.
Dia betul-betul berharap akan ada suatu perkampungan tak jauh dari tempat sekarang.
Umar tak tahu berapa lama dia sudah berjalan, akan tetapi kakinya sudah mulai penat. Perut mula rasa agak lapar. Sudah beberapa kali dia berhenti minum dan membasahkan kepalanya dengan air dari sungai disebelahnya. Satu-satunya perkara yang paling baik berlaku padanya adalah air sungai ini.
Matahari kini berada di atas kepalanya. Sekarang sudah tengah hari, kata Umar di dalam hati. Nasib baik cuaca tidak terlalu terik.
Setiap kali perasaan takut mulai datang dia cuba akan menenangkan dirinya kembali. "Umar, takut tidak akan membantu menyelesaikan apa-apa masalah, samada kau takut atau tidak kau tetap perlu menghadapi apa yang berada di hadapanmu" kata Umar kepada dirinya sendiri.
Aku perlu mencari makanan sekiranya aku mahu terus bertahan. Manusia boleh hidup sehingga seminggu tanpa makanan sekiranya ada air. Itu yang dia pelajari. Akan tetapi tanpa makanan dia akan kurang bertenaga untuk melakukan banyak perkara. Dan berada di dalam hutan bersendirian pasti memerlukan banyak tenaga.
Aku juga perlukan tempat untuk tidur berteduh dari hujan dan unggun api untuk mengelakkan dari kesejukan. Unggun api juga tidak disukai oleh binatang liar. Untuk makanan, aku boleh menangkap ikan atau mencari buah-buahan di dalam hutan.
Untuk mempertahan diri dia perlu mencari mana-mana batang kayu yang hujungnya tajam untuk dijadikan senjata. Sekiranya tidak ada, dia juga boleh mengasah kayu agar menjadi tajam menggunakan batu. Batu boleh dipecahkan untuk mendapatkan bucu yang tajam untuk tujuan ini.
Tips untuk mengetahui buah apa yang boleh dimakan dan buah mana yang tidak boleh dimakan adalah dengan belajar daripada monyet, sekiranya buah tersebut dimakan oleh monyet maknanya buah tersebut tidak beracun.
Api boleh dihidupkan dengan menggosok atas kayu dan menggunakan daun kering. Atau boleh juga dengan cara mengetuk dua batu untuk mendapatkan percikan api. Akan tetapi mungkin petang sedikit barulah dia perlu membuat unggun api, agak membazir kayu api sekiranya dia mulakan unggun api sekarang.
Semua tips-tips survival muncul kembali.
Dalam keadaan terdesak manusia akan berfikir dengan lebih ligat, bermacam-macam idea muncul.
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------
"ssshup"
Sedang Umar bergerak untuk menuju ke dalam hutan untuk mencari batang kayu, sesuatu benda bergerak laju lalu jatuh di hadapan kakinya. Anak Panah!
Muka Umar pucat!
"Daro! lenweta"
Suara tersebut datang dari balik rimbunan daun pokok. Ada seseorang yang berada di situ. Seseorang yang menyuruhnya membuat sesuatu. Bahasa apakah itu?
Umar terpaku, terus mengangkat tangan, tanda menyerah.
"Jangan panah! saya tak buat apa-apa, saya cuma tersesat!"
"Bahasa Malaysia... Siapa kamu! apa buat di kawasan kami!" balas suara itu kembali. Pemanah itu melompat turun dari rimbunan daun pokok tersebut.
Pemanah itu seorang perempuan muda, mungkin dalam usia 20an, teka Umar. Rambutnya berwarna hitam. Raut wajahnya masih tersembunyi disebalik panah yang sedang ditujukan ke arah Umar. Dia lebih tinggi dari Umar. Sekiranya berdiri berdekatan, kepala Umar cuma sampai ke bahu perempuan tersebut.
Pakaiannya berwarna hijau sepenuhnya, bercorak seperti daun. Baju lengan panjang dan seluar panjang. Di atas bajunya ada satu lagi baju yang lebih tebal, nampak keras, mungkin bagi menambah perlindungan. Lapisan perlindungan tambahan itu ada juga di peha. Sarung tangan dan kasutnya pula agak tebal dan mempunyai ukiran yang menarik. Sarung tangan itu panjang sehingga hampir ke siku, manakala kasutnya panjang hampir mencecah lutut. Di pinggangnya terdapat sebuah beg kecil berwarna coklat, tempat untuk menyimpan pelbagai barangan.
"Saya Umar. Saya tidak tahu dimana saya berada. Saya perlukan bantuan." jawab Umar.
"Bagaimana awak boleh berada di sini? mana awak dari" tanya perempuan itu. Bahasa Malaysianya agak janggal.
"Siapa awak?" Umar menjawab soalan tersebut dengan soalan. Dia tidak pasti apakah ceritanya akan diterima dengan mudah sekiranya dia menjawab dengan jujur.
"Jawab soalan!" jerkah perempuan itu
Umar terdiam, berfikir apakah jawapan yang lebih selamat.
Tiba-tiba sesuatu yang besar terbang melintasi dia dengan laju.
"Lócë! Naga!" Perempuan itu terus lari bersembunyi di sebalik pokok.
Umar melihat ke atas. Naga!. Ianya betul betul seekor Naga yang amat besar. Sebesar sebuah bas sekolah!. Naga itu berpusing kembali di udara, kini terbang menuju tepat ke arah Umar dengan mulut yang terbuka.
Tanpa berlengah lagi, Umar terus berlari ke arah hutan untuk menyelamatkan diri.
"Ssshup, ssshup, ssshup" berkali-kali perempuan itu memanah ke arah naga tadi. Naga itu mengelak ke tepi.
Umar berlari sekuat-kuat hati ke dalam hutan.
"Aaargh!" jeritan perempuan itu kedengaran, Umar terhenti. Dia memandang ke belakang. Naga itu sedang menyemburkan api dari mulutnya ke arah perempuan tadi. Disebabkan perempuan itu sedang bersembunyi di sebalik pokok, api itu cuma membakar batang pokok. Umar perasan yang tangan kiri perempuan itu kelihatan seperti terbakar. Busur panahnya juga sudah tercampak dari tangannya.
Dia panik.
Adakah aku mampu menolong perempuan itu?
Tapi itu seekor Naga!
Daripada dua-dua mati, baik seorang sahaja mati!
Tapi, sanggupkah aku melihat seorang mati tanpa berbuat apa-apa?
Tapi itu seekor Naga!
Apa yang boleh aku buat tanpa membahayakan diriku? Dia melihat sekeliling.
Batu! baling batu
Umar mengambil batu yang berdekatan lalu membalingnya sekuat-kuat hati ke arah Naga tadi sambil menjerit.
"Waaaargh! Waaargh!"
"Berjaya!" Naga itu berhenti menyemburkan api lalu memandang ke arah Umar. Ia mula menggerakkan kakinya melangkah ke arah Umar pula.
"Lari!" Umar terus menyambung kembali apa yang sedang dilakukannya sebelum ini. "Mintak-mintaklah aku sempat lari!.
Selepas beberapa saat, Umar terasa bahang api yang mendekati belakang badannya.
"Ya Allah, bantulah aku!" jerit Umar di dalam hatinya. Umar terjun ke tanah, cuba mengelakkan hembusan api dari naga tersebut.
"Gwedh! ruinë!" Umar terdengar jeritan perempuan tadi dari belakang.
Umar menjeling ke belakang, naga tersebut kelihatan sedang terbang pergi dari situ. Umar berhenti. "Kenapa?" bisik umar di dalam hatinya. Kemudian dia bergerak ke arah sebali sebatang pokok berdekatan sambil terus memerhatikan arah naga itu terbang, memastikan yang naga itu benar-benar pergi.
Umar menghembuskan nafas lega selepas melihat naga tersebut semakin menghilang di udara. Dia termengah-mengah kepenatan.
"Aduh! panas!" Umar baru mula merasai kesakitan di bahagian belakang badannya. Nampaknya hembusan api dari naga itu tidak sempat dia elakkan. Umar menjatuhkan dirinya ke tanah merekot kesakitan. Dia mengetap bibir, tangannya digenggam, matanya dipejamkan, "urgh.... sakit".
Tempat apakah ini! jerit Umar dalam hatinya.
"arda envinyanta!" Umar terdengar suatu suara, kesakitan yang dia rasakan semakin berkurangan. Dia membuka matanya kembali.
Perempuan itu sedang berdiri disebelah sambil menghulurkan tapak tangannya ke arah Umar. "adakah itu suatu magic untuk menyembuhkan?" bisik Umar di dalam hati, takjub.
"Ikut" kata perempuan itu kepada Umar. Kali ini suaranya kedengaran lebih lembut berbanding sebelumnya.
"Terima kasih" balas Umar. Umar bangun dan mula melangkah mengikuti perempuan itu
---------------------------------------------------------------------------------------
Mereka berjalan agak lama.
Melihatkan kedudukan matahari di langit Umar mengagak sekurang-kurangnya dia sudah berjalan 2 jam tanpa henti. Kakinya mulai lenguh-lenguh. bahagian belakang badannya yang melecur tadi juga masih terasa sedikit sakit. Ada beberapa kawasan bajunya yang koyak terbakar namun tidaklah sehingga menampakkan aurat. Nasib baik bajunya diperbuat dari kulit dan agak tebal, sekiranya ianya diperbuat dari kain biasa tentu ianya lebih menyakitkan lagi.
Dimanakah aku sekarang ini?
Suasana hutan semakin gelap, sejuk dan lembap. Batang-batang pokok di sini dipenuhi dengan lumut-lumut hijau. Menjadikan pemandangan kehijauan yang sangat cantik. Umar memang suka suasana hutan.
Bau hutan yang segar ini mengingatkan Umar kepada ayahnya. "Ayah, ayah di mana!" jerit Umar di dalam hati. Sekiranya jeritan ini didengari ayahnya, pasti mereka akan berasa sayu. Ayah dan ibunya tidak akan sesekali meninggalkan dirinya bersendirian ditempat yang tidak dikenali seperti ini. Ayah dan ibunya tidak pernah meninggalkan Umar dimana-mana tanpa kehadiran salah seorang dari mereka berdua, hatta ke padang permainan sekalipun Umar pasti akan ditemani oleh salah seorang dari mereka berdua... atau oleh abangnya. "Penculik sekarang berleluasa", kata Ummi.
Perjalanan mereka tidaklah sukar, disebabkan hutan ini tidak mempunyai banyak semak-samun, langkahan menjadi lebih mudah daripada berjalan di hutan yang biasa dia masuki. Ia juga kelihatan lebih selamat memandangkan dia tidak perlu takut terpijak binatang berbisa seperti ular, sarang tebuan tanah atau kala jengking.
"Jauh lagi kah perjalanan kita?" tanya Umar.
"..." Perempuan itu cuma memandang ke arah Umar sambil mengerutkan dahi, seolah olah berfikir.
"Boleh kita rehat sebentar?" Umar menunjukkan jarinya ke tanah.
"Oh... " perempuan itu mula duduk di atas sebuah batu berdekatan. Kakinya dilunjurkan ke bawah.
"Siapa nama awak? saya Umar." soal Umar sambil mencari tempat yang sesuai untuk duduk. Dia kemudiannya menundukkan badan lalu duduk bersandar pada sebatang pokok.
"Nama saya Ethirhel, elf dari Sirdhem. Hutan ini dibawah jagaan elf. Manusia tak boleh masuk"
Umar terdiam seketika, baru sekarang dia perasan yang bentuk telinga Ethirhel kelihatan meruncing ke atas, berbeza daripada manusia. Selain dari telinganya itu, Ethirhel tidak jauh berbeza daripada manusia biasa. warna kulit Ethirhel juga lebih putih sedikit berbanding warna kulit manusia biasa. Ethirhel juga mempunyai wajah yang cantik. Sebelum ini dia tidak berkesempatan untuk betul-betul melihat wajah Ethirhel.
Elf? elf adalah bangsa yang dia kenali di dalam permainan komputernya. Elf sepatutnya tidak wujud di alam nyata.... begitu juga dengan Naga.
Tempat apakah ini yang mempunyai Naga dan juga elf. Adakah dia sekarang berada di alam mimpi? Atau dia sekarang berada di alam fantasi? Dia pernah terbaca yang orang bunian boleh menyembunyikan seseorang di alam ghaib.
Aku adalah seorang islam, aku percaya bahawa Allah adalah penguasa setiap sesuatu. Allah yang menjadikan seluruh alam dan Allah mampu berbuat apa sahaja. Sekiranya Allah mahu menjadikan Naga, Dia boleh berbuat sedemikian. Umar berbisik di dalam hati, cuba mengingatkan dirinya sendiri terhadap semua yang pernah dia pelajari selama ini.
"Terima kasih", kata Ethirhel
"Mengapa? saya yang perlu berterima kasih sebenarnya, Ethi... Ethirhel, cik lah yang telah menyelamatkan saya daripada serangan Naga tadi." Umar bertanya kembali.
"Awak lari boleh, tapi datang balik tolong saya walaupun awak kanak-kanak yang lemah. Itu sebab saya terima kasih." Ethirhel menjelaskan. Bahasa Malaysianya kurang baik.
"Oh, sebenarnya saya lah yang telah diselamatkan oleh cik Ethirhel. Kalau tidak tak tahulah apa yang akan terjadi kepada saya." balas Umar pula.
"Itu tanggung jawab saya, Ranger Elit dari Sirdhem, saya jaga keselamatan hutan, sebarang serangan daripada luar. Kalau serangan itu kena pada perkampungan kami, bahaya." jawab Ethirhel.
"Oh, begitu. Boleh saya bertanya? cik Ethirhel pernah dengar tentang Kuala Lumpur? Malaysia? saya berasal dari sana, bagaimanakah caranya saya mahu pulang ke Kuala Lumpur?" tanya Umar.
"Kuala Lumpur? tak pernah. Nanti tanya ketua, Druidar." jawab Ethirhel pendek.
"Baik, saya akan bertanya pada dia. Terima kasih kerana sudi membantu saya." Umar menutup perbicaraan.
"Sama-sama".
Selepas itu mereka cuma berdiam diri sahaja. Umar cuba untuk mengambil peluang untuk melelapkan mata seketika.
Selepas beberapa minit berlalu, Ethirhel bangun dari tempat duduknya.
"Saya bosan, awak tunggu sini, jangan bergerak ke mana-mana. Nanti orang lain akan datang dan bawa awak ke Sirdhem." Ethirhel terus berlari ke arah yang mereka tujui sebelum ini.
"Err... " Umar tergamam, tidak sempat berkata apa-apa, hanya memandang kelibat Ethirhel dari jauh. Sekejap sahaja Ethirhel hilang dari pandangan. Laju betul.
Umar keseorangan.
------------------------------------------------------------------------------------------------------
"Sekarang pasti sudah masuk waktu zohor, aku perlu solat, bagaimana nak berwudhu'?."
Umar memerhatikan sekelilingnya.
Sebelum boleh bertayammum, Umar perlu cuba mencari air terlebih dahulu. Sekiranya betul-betul tidak jumpa air, barulah boleh bertayammum.
Umar tidak berani bergerak ke tempat lain, dia bimbang melanggar pesan perempuan yang menyelamatkannya sebentar tadi.
"Aku sedang bermusafir, aku boleh jama'".
Umar cuba melelapkan mata, dia masih kepenatan. Dia tertidur.
"Bangun."
Umar merasakan badannya digoncang. Dia membuka mata.
Kabur. Umar menggosokkan matanya.
Setelah seketika baru pemandangannya menjadi jelas.
Betul-betul di hadapannya kini seorang budak lelaki sedang melutut, seakan-akan sebaya dengan usia Umar. Budak lelaki ini berpakaian serba putih. Rambutnya putih. Matanya bulat. Wajahnya agak tembam. Badannya pun agak gempal. Tidak seperti kaum elf yang dibayangkan Umar. Kurus dan tinggi. Dibelakangnya ada kain putih seperti kain pada superhero yang Umar selalu lihat di kaca televisyen. Bajunya panjang ke bawah seperti jubah. Kainnya pula mempunyai corak-corak kecil seperti lambang tertentu. Di kepalanya ada tali berwarna putih yang diikatkan pada dahi.
"Hai", dia menyapa.
"Err, hai" jawab Umar.
"hik hik hik"
"..." Umar pelik.
"Ada ular sebelah awak" kata budak itu.
Umar memandang ke kiri dan kanan, baru dia perasan yang di sebelah kirinya ada sesuatu yang panjang, berwarna hitam. Muka Umar pucat ketakutan. Dia terus terlompat ke hadapan secara refleks.
"hahahahahahahahaha...."
Budak lelaki tadi ketawa terbahak-bahak. Sebelah tangannya memegang perut.
Umar memandang semula ke arah ular tadi, ia cuma sebatang kayu.
"Ciss, tak guna...." kata Umar dalam hati, merenung geram ke arah budak tadi. Dia tidak berani nak memarahi seseorang yang dia tidak kenali. Apatah lagi di dalam hutan rimba seperti ini.
"hahahahahahahahaha....."
Budak tadi masih tidak berhenti ketawa terbahak-bahak.
Akhirnya Umar pun ikut ketawa sekali melihatkan raut lucu budak yang sedang ketawa itu.
"hahahahaha...."
"hahaha.... Maaf.... hahahahahaha.... "
"Saya Ruindoldaer, anak lelaki Dhoelath. haha...." Ruindoldaer memperkenalkan dirinya sambil cuba memberhentikan gelaknya.
"haha... Saya Umar"
"Cik Ethirhel menyuruh saya membawa awak ke Sirdhem. Mari ikut saya."
"ok"
"tapi hati-hati di sini banyak ular.... hahahahahaha...." Ruindoldaer ketawa kembali.
Umar tersengih lalu ikut ketawa. Terlupa segala ketakutan dan kerisauannya sebelum ini.
Ruindoldaer berjalan sambil terus ketawa.
"Nakal betul budak ini." kata Umar di dalam hati sambil berjalan mengikuti Ruindoldaer.
Ruindoldaer membawa Umar lebih jauh ke dalam hutan.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
- bersambung di bab 2.
